Sejak balik ini aku mula memikirkan tentang jodoh.
Ditambah lagi dengan soalan2 sama yang datang bertalu2 tentang 'bila nak kawin?' Aku jawab sama je, "tolong carikan jodoh untuk saya".
Ada juga makcik-makcik kampung yang ternampak aku ketika kenduri, bertanyakan tentang aku, minta gambar, mencatat nama dan nombor telefonku.
Tapi sampai ke sudah tak ada khabar berita. Aku buat kesimpulan, samada makcik tu dah hilang no telefon aku, atau anak lelaki mereka tak berminat dengan aku.
Mungkin rupaku yang biasa-biasa, atau pakaianku yang sentiasa berbaju kurung dan bertudung, atau karakterku yang pendiam. Mungkin semua itu turn off bagi orang lelaki.
Tapi aku tak pernah minta dari Allah. Aku lupa Allah lebih tahu apa yang baik untukku. Aku bertekad untuk mengubah diriku. Ramadhan hampir tiba, masa yang paling baik untuk mulakan perubahan.
Sepanjang bulan Ramadhan tahun itu, aku membaca surah Yasin sepanjang malam dari Maghrib hingga Isya. Disertai dengan doa setiap waktu solat, doa supaya aku dijodohkan dengan lelaki baik, yang beriman, yang akan jadi imam solatku. Ya Allah, aku benar-benar mengharapkan bantuanMu.
_______________________________________
Seminggu sebelum Ramadhan berakhir, aku sedang berurusan di pejabat am. Tiba-tiba terdengar suara cc bercakap dengan seseorang di telefon.
"Ya .... sambungan dia 56994" , seketika itu dia menoleh ke arahku dan berkata, "oh itu pun dia ada di sini". CC melambai aku datang padanya dan menyerahkan telefon di mejanya.
"Assalamualaikum", aku memberi salam.
"Waalaikumsalam, boleh saya bercakap dengan Cik Farina", kedengaran suara lelaki yang tak ku kenal.
"Saya bercakap".
"Saya Farid, saya ada hal private nak cakap dengan cik Farina. Boleh saya call your office?"
"Call saya 15 minit lagi."
Balik ke pejabatku, telefon terus berdering.
"Saya Farid staff senior di sini. Farina dah bertunang ke?" wah direct nya soalan.
Tak pernah kudengar nama Farid, tapi sebagai pekerja baru, aku belum kenal semua orang lagi.
"Tak. Saya belum bertunang."
"Dah ada seseorang?"
"Takde, kenapa?"
"Kawan saya berminat nak kenal dengan Farina, kalau tak keberatan".
"Siapa kawan awak tu?"
"Buat masa ni dia minta dirahsiakan."
Rahsia? Serta merta ingatanku melayang pada staff lelaki dari Penang semasa di kem, dan mimpi2 yang menghantui.
"Penang?"
"KL... "
Fuhh, lega! Asalkan bukan Penang.
"Kalau cik Farina setuju, baru kita kenalkan."
"I don't know. I'm not .... innt ..", aku nak cakap aku tak berminat, tapi mana tahu entah2 inilah jodoh aku. Kalau awal2 dah tolak, terlepaslah peluang aku.
"Kalau cik Farina tak nak, saya tak paksa."
Weh macamana dia tahu isihati aku? Mungkin dia dapat teka dari suara aku yang teragak-agak tadi.
"Saya tak boleh jawab sekarang. Boleh contact saya seminggu lagi?"
Aku memang sengaja beri masa yang lama, supaya aku boleh tahu samada lelaki itu serius atau main2 sahaja. Kalau selepas seminggu dia diam sahaja tak muncul2, aku dah tak kisah pun. Dah biasa.
"Baiklah, terimakasih.. Saya akan hubungi cik Farina minggu depan?"
Farid, seorang lagi staf senior yang cuba nak matchkan aku dengan kawannya. Konon kawan berminat, entah-entah kawan tu tak tau apa-apa. Tengoklah nanti, senyap macam tu saja. Aku dah bersedia untuk redha.
Aku tak nak jadi brutal dan kejam seperti dulu. Pernah suatu masa dulu aku confront match maker aku sendiri sebab inilah. Minta gambar aku untuk dimatchkan dengan adik dia, tiba2 senyap tak dengar khabar. Bila aku terserempak dengannya di satu majlis reunion dan demand gambar aku dipulangkan, dia terus pengsan di situ juga. Kecoh juga masa tu. Harap2 tak siapa tahu apa sebabnya.
Petang itu, mak pula telefon dari kampung.
"Rina, alhamdulillah. Ada orang nak datang merisik Rina! Ada makcik carikan jodoh untuk anak dia. Jiran mak tunjukkan gambar Rina. Terus dia berkenan."
Aku tergelak dalam hati. Dah berapa ramai makcik yang berkenan padaku, tapi hilang senyap macam tu je.
"Raya nanti mak tunjukkan gambar anak dia. Kalau ikutkan hati mak, sekarang ni jugak mak nak ke KL. Nak bagi gambar tu kat Rina."
He heh he mak aku ni. Gembira sangat anaknya ada jugak orang berkenan.
