Selepas hampir setahun mendirikan rumahtangga, barulah kami dapat tinggal serumah. Fizd sudah berkerja di cawangan yang sama denganku. Aku pun sudah sarat sangat ketika itu. Impian untuk berpakaian seksi, bertshirt ketat dan berjeans ketat cuma tinggal impian. Setiap hari aku berpakaian longgar untuk ibu mengandung.
Dan bila tinggal bersama, lebih banyak aku mengalirkan airmata, kerana Fizd tak memahami aku. Dia terlalu ego. Tak pernah sekalipun dia bertanyakan kesihatanku atau bayiku. Bila melihat aku membawa beg berat, dia membiarkan sahaja tanpa mahu menolong.
Malah, dia mendakwa semua wanita yang baru melahirkan itu kuat dan tidaklah lemah seperti yang dicanang, hanya selepas menonton rencana menunjukkan wanita di hutan Amazon yang terus mencuci baju di sungai selepas melahirkan.
Baru aku sedar, Fizd kekurangan ilmu kekeluargaan. Adik-adiknya semua baik dan rapat sesama sendiri kecuali Fizd. Mereka seolah-olah kekok dan berhati2 apabila bercakap dengannya. Malah mereka jadi lebih rapat denganku dan menghubungi aku jika perlukan sesuatu dari abang mereka.
Ilmu agama Fizd tinggi tapi layanannya pada adik-adik perempuannya termasuk aku, sangat keras dan berdasarkan hukum dan logik sahaja. Sedangkan manusia ada perasaan yang mudah terluka apabila dihiris kata2 yang tajam. Dia sangat menjaga aurat dan pakaian kami, tetapi dia sendiri suka bila perempuan2 seksi memberi perhatian padanya.
Semasa aku sakit untuk melahirkan, dia meninggalkan aku keseorangan di hospital, katanya nak keluar makan. Sudahlah aku terpaksa duduk di atas bangku selama berjam2 kerana katil sudah penuh.
Bila berjaya mendapat katil, rahimku sudahpun 6 cm terbuka dan aku betul2 dalam kesakitan. Aku merasakan badanku seperti dipulas dan diperah sekuat-kuatnya oleh sepasang tangan gergasi, seperti orang memerah kain basah untuk dijemur.
Aku menangis semasa dalam kesakitan, bukan kerana sakit itu, tapi kerana sedih merasa diabaikan. Aku cuma mahukan Fizd untuk berada di sisiku. Aku cuma mahukan Fizd.
Sejak dari awal mengandung lagi aku telah merayu untuk bersalin dihospital swasta. Tapi Fizd tak izinkan. Mama dulu elok je bersalin hospital kerajaan, katanya.
Selepas 6 jam melawan contraction tanpa henti, bayiku selamat dilahirkan malam itu. Tiada seorangpun ahli keluargaku yang tahu. Tiada siapa yang mengazankannya kerana ayahnya sudah lena di rumah. Aku pula terus tertidur keletihan kerana sudah 24 jam aku tidak dapat tidur sejak contraction pertama malam semalam.
Nurse yang mengejutku untuk menyusukan bayi setiap 2 jam kerana aku betul2 tidak bertenaga lagi. Subuh itu aku kuatkan semangat menuju ke pondok telefon awam di luar wad. Aku hubungi ibubapaku, bukan suamiku. Perasaanku terlalu terluka dan tak boleh nak bercakap dengannya.
Mereka terus bertolak dari Bagan Serai dan mengajak suami ke hospital. Aku berpantang di kampung selama 3 minggu. Setiap kali Fizd datang menjenguk bayiku, aku tiada apa2 perasaan teruja dengan kehadirannya. Tak datang pun tak mengapa. Aku memandangnya dengan pandangan kosong, tanpa jiwa.
Pulang ke rumah sendiri, tiba-tiba aku jadi sangat pelindung pada bayiku. Aku telah mengharungi kepayahan mengandung secara fizikal dan emosi keseorangan, tanpa sokongan dan kasih-sayang dari Fizd. Malah dia tak tahu apa2 tentangku dan bayiku. Jadi aku rasa Fizd tak layak untuk meraikannya bersamaku.
Bila anak sulungku sudah pandai senyum dan gelak apabila diusik, barulah rumahtanggaku kembali berseri. Seperti sebuah rumah yang pernah mati, kini hidup kembali. Dialah yang jadi jambatan pengikat kasih antara kami berdua. Tanpanya, jiwaku telah lama mati.
