Sept 2020. Hujung tahun ini anniversary kami yang ke 30. Covid 19 sedang melanda seluruh dunia. Sudah lebih 30 juta penduduk dunia dijangkiti dan sudah hampir sejuta orang meninggal dunia dalam masa 9 bulan sahaja.
Beberapa negara seperti Malaysia, UK dan Perancis sedang menghadapi gelombang kedua Covid kerana vaksin yang berkesan masih dalam pencarian. US, India, Brazil dan Rusia negara paling banyak jangkitan ketika ini.
Perniagaanku juga terpaksa ditutup buat sementara waktu kerana pelanggan utamanya, pelancong dari luar negara, sudah tiada.
Mujurlah aku tiada hutang bank. Rumah, kedai dan kereta semua sudah selesai dibayar. Anak sulungku Faris, sudah berkahwin dan berkerja di New Zealand. Dia memutuskan untuk tetap berada di sana bila sempadan negara ditutup. Anak keduaku Fatin Husna, membuka sebuah tadika berhampiran rumah kami di Shah Alam.
Anak ketiga kami, Fasih Iman, sedang membuat PhD di Canada. Dia tetap berada di sana walaupun ramai rakan-rakannya yang pulang ke Malaysia. Rugi jika pulang, kerana kemudahan universiti seperti perpustakaan, makmal dan lain2 masih dibuka dan boleh digunakan. Cuma kena sentiasa bertopeng muka dan jaga penjarakan sosial.
Komplikasi semasa melahirkan Fasih Iman 25 tahun lalu, telah hampir2 mengorbankan nyawaku. Fizd mengambil cuti sebulan untuk menjagaku dan anak2. Dia tidak membenarkan aku mengandung lagi kerana bimbang nyawaku terancam.
Pagi ini, aku dan Fizd sedang berjogging berhampiran Tasik Shah Alam, bila kami bertembung dengan seorang ibu muda yang sedang menolak stroller. Comel dan gebu sungguh bayi yang dibawanya.
"Rindunya nak ada baby lagi kat rumah kita bang".
"Boleh, abang ada tiga kuota lagi...", Fizd memandangku nakal. Tiga kuota itu memang sering digunakannya untuk menyakatku.
"Bukan abaaang ... anak-anak kitalah, Fatin dan Fasih tu. Entah bilalah nak dapat jodoh."
"Insyaallah, ada jodoh mereka. Tengok you dulu macamana, dah hampir nak andartu dah, abang jugak yang datang selamatkan."
"Ishh abang ni... !" Pukulan bertalu-talu hinggap ditubuhnya.
20 Mei 2024
Suamiku telah pergi untuk selama-lamanya, meninggalkanku yang masih merindui dan menyanyanginya. Ya Allah tempatkanlah dia dalam kalangan ahli syurga dan jauhkanlah dia dari siksa api neraka. Selamat jalan suamiku, semoga kita berjumpa semula di sana.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan