Rabu, 9 September 2020

Bab 17: Hari Pernikahan, Maklong dan Mami Zue

Semasa hari nikah, orang lain gembira, aku sedih sangat. 

Ibubapaku yang mula-mula dah setuju tak perlu bersanding dan berpelamin, terus bertukar fikiran bila sedara-maraku semua dah tiba.  Aku syak ni mesti hasutan mereka.  Tiba2 sahaja sudah ada pelamin segera siap di ruang tamu.  

Selesai majlis akad nikah,  aku diarahkan pakai pakaian pengantin yang maklong aka mak andam sediakan.  Aku dan Fizd sudah pun merancang untuk pakai pakaian nikah sahaja sepanjang hari itu.  Tapi lain pula jadinya.

Aku diberi baju warna ungu berkilat yang aku langsung tak berkenan.  Aku enggan memakainya, tetapi pakaian pengantin lelaki sudahpun diberi pada Fizd.


Sedihnya! Aku dan Fizd sudah teraniaya!  Kami dipaksa pakai pakaian sarat itu dan bersanding di pelamin.  Pengantin lelaki sudah ke simpang jalan, menunggu waktu berarak.   Aku tiada cara untuk berhubung dengannya. Tiada seorang pun memiliki hp waktu itu.  Hp sebesar kotak susu I Liter,  hanya milik orang2 kaya sahaja.

Muka Fizd masam  sepanjang bersanding, dan mukaku berkilat dengan lipstik merah menyala, akibat solekan mak andam yang berlebihan.  Aku benci semua gambar2 dalam pakaian ungu itu dan tak menyimpan walau sekeping pun.  Semuanya dah ku bahagikan pada makcik2 ku yang beria-ia melihat aku bersanding dalam pakaian hodoh tu.

Apabila majlis di rumahku tamat, aku dan Fizd masuk ke bilik pengantin.  Fizd terus mengarahkan aku mencuci bersih solekan di muka.  Dia marahkan aku, tapi aku pertahankan diri dan beritahu aku tak tahu apa-apa tentang baju ungu dan persandingan tu.

Malam itu  ada gembira juga akhirnya.  Mak long  ada bawa sepersalinan pakaian pengantin ala barat, ada gaun kembang dan bunga2 hiasan di kepala yang sungguh cantik.  Aku dan Fizd berganti baju dan bergambar sepuasnya di dalam bilik pengantin.  Tiada siapa yang melihat kami kecuali  ahli keluarga yang berada di dalam bilik sahaja.

Aku menolong mereka membersihkan rumah selepas kenduri.  Bila masuk ke bilik, Fizd sudah tertidur lena.

Ya Allah mungkin aku terlalu sibuk dengan urusan duniawi, hingga melupakan Mu, hingga tidak sempat  berdoa bersungguh-sungguh moga majlisku ini diberkati dan dilindungi dari segala maksiat. Aku tidak kuat untuk menentang apa yang Engkau larang.   Aku telah teraniaya, ampunkan aku ya Allah.

____________________________________

Seminggu setelah majlis di rumahku, majlis di rumah Fizd pula.  Alhamdulillah majlis di rumahnya berjalan mengikut perancangan kami.  

Keesokannya, tinggal saudara-mara terdekat sahaja di rumah.  Semalam Fizd sudah perkenalkan makcik2 dan pakcik2 nya. Tapi manalah aku ingat lagi, sebab saudara mara terlalu ramai, semua dari sebelah bapa.

Hampir tengahari,  makcik Fizd yang dipanggil Mami Zue sahaja yang masih ada.  Dia tinggal sekampung, jadi tak perlu tergesa pulang. Yang lain semua dah bertolak balik ke rumah masing2.  Semasa aku leka mendengar mereka berbual di ruang tamu, tiba2 mami Zue menoleh ke arahku sambil mengangkat tangannya.  Lima utas gelang emas tebal di lengan kanannya menyilaukan mataku.

"Farina.  Jenguk sat dapuq tu masak, jap lqgi nak makan tengahari." 

Alamak!  Dahlah aku cuma pandai masak ala kadar je, hampir semua masakan barat pula tu, dapur rumah ni pun aku belum kenal lagi.  Adik iparku Lia, terus bertindak pantas, "jom kak saya tolong."

Lia sediakan semua bahan dan dia juga yang masak, aku tolong potong2 je. 

"Jangan risau ... mami tu mulut je bising, hati dia baik," Lia tersenyum memandangku.

"Kami adik-beradik semua ikut rombongan bertunang abang  hari tu.  Tak sabar nak tengok siapalah kak Farina ni sampai abang Fizd sanggup tinggalkan pilihan mami.  Mami yang matchkan abang dengan kak Waheeda, anak manakan mami jugak."

"Abang Fizd nampak sangat dah tak sabar2 nak kawin, dia bagi tempoh dua minggu je untuk kami pergi pinang kak Farina.  Takut akak terlepas le tu..... .  Mami bising awat tak boleh sabaq.  Baghu putuih dah nak pi pinang oghang lain.  Waheeda tu spare part saja ka selama ni?"

Mulut Lia boleh tahan bersembang tak berhenti macam abang dia juga.  Bolehlah jadi spy aku bila2 diperlukan nanti.

"Macamana akak kenal abang?" soalan yang  dah lali ditelingaku. 

"Kenal di tempat kerja."

"Tak pernah dengar nama kak Farina sebelum ni.  Dengar2 je terus kena masuk meminang.  Dulu arwah mama selalu bebel sebab ramai sangat perempuan call rumah cari abang, mama tak suka.  Tapi kalaulah mama dapat jumpa kak Farina, mesti dia approve."

Lia berbisik ke arahku, "kak Farina tak ada boyfriendkan. Abang propose terus terima. Betultak?"

Aku cuma mengangguk je. Betul la tu, pandainya budak ni, padahal umur baru nak masuk 20 tahun.  

"Abang cakap kak Farina cantik."

"...ye ke?  Tipu la, dia gurau2 la tu."

"Eh taklah. Serius. Masa berkumpul lepas balik majlis tunang, ada yang cakap takde la cantik mana pun, cantik lagi Waheeda."

Aku terdiam dan terus tertunduk.  Tiba2 aku rasa sangat kecil dan tidak disukai oleh saudara mara Fizd.   Aku sedar ahli keluarga perempuan belah ayah Fizd  memang cantik2 belaka, ada yang seperti artis Bollywood.  Lia sambung lagi. 

"Abang terdengar. Dia balas takpe la tak cantik di mata orang lain.  Asal cantik di mata saya.  Nampak tak kak Farina, betul kan!"

Aku terpaku. Fizd cakap aku cantik dimatanya?  Oh bahagianya.  Selama ini, tak pernah sesiapapun memuji wajahku. Termasuk ibubapaku.  Aku sedar, aku tahu dimana tahapku.

Terus aku teringat peristiwa Fizd kantoi di talian  telefon bersama Waheeda.  Ia berlaku selepas kami bertunang.

"Waheeda tau tak abang nak bertunang dengan orang lain?"

"Tak pasti pula saya. Takkan la abang tak bagitau? Tapi memang teruk abang kena sembur dengan mami sebab tak nak teruskan dengan kak Waheeda. Anak2 mami semuanya mami yang carikan. Mami kata abang degil macam ayah."

"Masa ayah kawin dengan mama,  arwah maktok tak setuju sebab dah pinangkan perempuan lain.  Maktok berkenan sangat dengan perempuan tu, last2 dikawinkan juga dengan Busu.  Busu ikut je,  Busu lembut hati, tak sama macam ayah."

"Mak Usu yang baru balik tadi tu ke?  Nampak baik dan lemah lembut je, patutlah maktok berkenan sangat."  

"Aa. Kalau jadilah ayah dengan Mak Usu, husband kak Farina tak wujudla pulak. Hihihi." 

Lia terus tergelak kecil dengan lawaknya sendiri.  Boleh buat movie kisah family mertuaku ini.

"Ayah orang pertama dalam keluarga yang kawin orang luar, tak sama bangsa pula tu. Mama anak Cina."

Perbualan kami terhenti bila terdengar suara ayah mertuaku, "Lia, tak elok sembang lama-lama di dapur. Dah habis masak,  kemas cepat.  Bagi Farina rehat dulu."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan